DUNGUN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun tidak menyangka kesemua mangsa kemalangan dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV di hadapan kampus malam tadi rupa-rupanya sahabat baiknya.
Tambah membuatkan Muhammad Hazarul Ashwaq Azhar, 20, pilu apabila salah seorang yang meninggal dunia merupakan rakan sebiliknya iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20.
Katanya, dia yang tidak sedap hati setelah keempat-empat sahabatnya itu gagal dihubungi telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kemalangan tersebut.
“Sebelum kejadian, Khai (Khairil Anwar) mengajak saya keluar makan malam bersama-sama mereka, tetapi saya menolak kerana ingin berehat setelah kepenatan menjalani latihan kokurikulum.
“Sebaik saya tiba di lokasi kemalangan, tergamam saya apabila perasan salah satu mayat bergelimpangan itu Wak (Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25) yang saya anggap seperti abang kandung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Muhammad Hazarul Ashwaq berkata, hatinya luluh apabila mendapati Khai pula berada di dalam parit.
“Saya kemudiannya diminta untuk mengecam satu lagi mayat dikenal pasti Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang juga sahabat saya.
“Mangsa yang cedera iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan juga kawan saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UiTM Dungun: ‘Khai ajak keluar makan, saya tolak sebab penat’ appeared first on Kosmo Digital.