MUAR – Seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan menyayat hati malam tadi merupakan anak jati Kampung Parit Baru, Ayer Hitam, Bukit Naning, Muar.
Menurut ADUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin, mangsa kemalangan maut tersebut, Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, merupakan salah seorang pelajar cemerlang kampung berkenaan.
“Tahun lalu, pihak Pusat Masyarakat DUN Bukit Naning pernah bersua dengan Tukirin Saringat, yang merupakan bapa kepada Muhammad Akmal untuk menyampaikan ucapan tahniah serta sumbangan atas kejayaan Akmal menyambung pelajaran ke UiTM, Dungun, Terengganu.
“Muhammad Akmal merupakan pelajar cemerlang yang membanggakan kami di kawasan DUN Bukit Naning yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik yang ke semuanya adalah lelaki.
“Akmal mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran sepenuh masa Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan tahun lalu.
“Kepada keluarga mangsa, saya amat memahami betapa peritnya kehilangan orang tersayang, terutamanya anak yang menjadi harapan masa depan,” katanya.
Mohd Fuad turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang turut terkorban dalam kemalangan maut malam tadi.
“Jenazah Muhammad Akmal dalam perjalanan di bawa pulang ke Muar dan dikebumikan lewat petang ini selepas disolatkan di Masjid UiTM Dungun,”kongsinya.
Semalam, rakyat Malaysia digemparkan dengan kemalangan maut yang mengorbankan tiga pelajar UiTM Cawangan Dungun di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah, Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, selepas dirempuh sebuah SUV. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UiTM Dungun: ‘Akmal pelajar cemerlang, banggakan kami’ appeared first on Kosmo Digital.