Nahas ngeri Melaka: Saya percaya bukti dikumpul polis – Bapa mangsa

BANGI – Bapa kepada mangsa lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Melaka yakin polis telah mengumpulkan bukti berkaitan sebelum kes tersebut dibawa kepada muka pengadilan.

Pesara polis, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, iaitu bapa kepada Khairul Ikhwan, 32, berkata, sehubungan itu pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Pihak polis telah jalankan siasatan. Saya percaya siasatan dijalankan dengan adil. Saya percaya kejadian ini yang mana bukti telah dikumpulkan oleh polis.

“Insya-Allah pendakwa raya akan mengambil tindakan atas mereka yang didapati melakukan kesalahan menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas di sini hari ini.

Sementara itu, Mazupi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat antaranya Polis Diraja Malaysia, petugas kesihatan, pihak media selain rakan sejawat anaknya dan menantu yang turut bersama-sama solat jenazah pada hari ini.

“Saya sendiri walau rasa terharu, tapi rasa bersemangat sebab ramai sahabat datang untuk doakan dia. Mudahan Allah terima doa kita semua agar diringankan seksaan kuburnya, dihalang himpitan kubur dan kuburnya dijadikan taman syurga untuk beristirehat hingga hari mahsyar,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan seramai tujuh mangsa maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Melaka malam tadi.

Nahas tersebut dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya menyebabkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan gagal mengelak dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Mangsa yang maut adalah Khairul Ikhwan dan isteri Fadzlenna Ramli, 32, serta anak mereka, Muhammad Umar, 2. Dua lagi mangsa adalah ibu bapa kepada Fadzlenna iaitu Ramli dan Fauziah Jaafar, 69.

Dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66. – KOSMO! ONLINE

The post Nahas ngeri Melaka: Saya percaya bukti dikumpul polis – Bapa mangsa appeared first on Kosmo Digital.