Nad Zainal korban penggosip? Ungku Ismail titip doa

PETALING JAYA – Ketika nama isterinya iaitu aktres, Nad Zainal menggelegak jadi bahan kepanasan dunia hiburan sejak semalam, suaminya yang juga aktor Ungku Ismail tampil mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sekeping foto memaparkan doa buat individu yang menjadi mangsa gosip.

Perkongsian Ungku atau nama lengkapnya Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, 38, itu seolah-olah sebagai tanda sokongan kepada isterinya yang kini terjebak kontroversi sehingga dikecam beberapa selebriti seperti Nabila Huda dan Sharifah Sakinah.

“Catatan kecil untukmu yang jadi korban para penggosip. Orang yang dibelakangmu suka membicarakan aib dan kekuranganmu.

“Mencari-cari kesalahan atau kadang memfitnahmu, mungkin dia akan membahayakan duniamu. Tapi yang jelas sangat bermanfaat buat akhiratmu kerana menghantar pahalanya.

“Maka, biarkan sahaja dia meneruskannya. Lumayankan dapat menghantar pahala percuma tanpa harus beribadah,” kongsinya dalam hantaran Instagram.

Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila aktres yang pernah menjadi rakan karibnya, Nabila Huda dengan selamba menyatakan tidak mengenali individu bernama Nad Zainal.

Nabila atau lebih mesra disapa Abil lebih dulu menuai perhatian apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali Nad dalam sebuah hantaran Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail bersama media.

Dalam temu bual tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu enggan mengambil kisah atau mengusutkan pemikiran dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.

Terdahulu, sahabat baik Nad, Sherry Alhadad juga pernah meluahkan rasa sebal dengan sikap Nad yang seolah-olah sudah memutuskan perhubungan antara mereka. Selain Abil dan Sherry, pelakon Sharufah Sakinah turut mengambil pendekatan ‘move on’ dan berharap dipertemukan dengan pelakon drama Cina Buta itu di alam yang lain.

Spekulasi bermasam muka antara mereka mula bertebaran selepas Nad pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku pada Januari lalu. -KOSMO! ONLINE

The post Nad Zainal korban penggosip? Ungku Ismail titip doa appeared first on Kosmo Digital.