LAHAD DATU – Mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam longgokan di tempat pembuangan sampah kawasan Fajar malam tadi.
Mayat bayi dibalut menggunakan sehelai baju kameja warna kelabu itu ditemui kira-kira pukul 11.30 malam oleh pemandu lori warga tempatan berusia 44 tahun ketika sedang memungut sampah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki terbabit adalah pemandu lori kontraktor pembersihan sampah yang ketika itu sedang memungut sampah di kawasan terbabit.
“Mayat bayi itu dibalut dengan menggunakan kemeja perempuan berwarna kelabu dan bergaris yang diletakkan di atas longgokan sampah.
“Susulan kejadian itu sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rohan Shah memaklumkan mayat bayi itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit dan pihaknya sedang berusaha mengesan suspek sebenar dalam kejadian ini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophie Thomas Kasau di talian 013-9392505,” katanya. -KOSMO! ONLINE.
The post Mayat bayi lelaki baru lahir ditemui dalam longgokan sampah appeared first on Kosmo Digital.