MINGGU ini, antara berita paling hangat diperkatakan adalah tentang kisah bekas peragawati dan pelakon jelita, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, yang didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Acap kali kita mendengar atau membaca berita mengenai kisah perceraian selebriti yang berlaku hampir setiap bulan. Lazimnya kerana kehadiran orang ketiga, tetapi jarang sekali kita mendengar berita selebriti dipukul suami. Jika ada pun melibatkan selebriti dari Seberang seperti Lesti Kejora dan Cut Intan Nabila.
Berbalik kepada kisah Zahnita, rupa-rupanya sudah 20 tahun dia bertahan hidup sebagai isteri kepada lelaki panas baran membuatkan pelakon yang pernah meraih populariti menerusi filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu menjauh daripada industri hiburan dan memilih untuk menetap di Kuantan, Pahang.
Ramai yang terkejut dan menzahirkan simpati buat Zahnita yang dahulunya antara peragawati terlaris tanah air.
Siapa sangka di sebalik senyuman dan video ‘gila-gila’ yang sering dikongsi dalam media sosial, ada episod duka yang terpendam di hati terdalam.
Rahsia dan duka yang dipeluk erat selama dua dekad akhirnya tidak lagi mampu diselindung. Pada Isnin lalu Zahnita berkongsi wajahnya yang lebam akibat dipukul suami, semuanya gara-gara mempersoalkan tentang kehadiran orang ketiga.
“Saya tidak mahu melakukan ini. Tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya tinggalkan rumah lama saya. Dan juga menjadi sebab kenapa saya selalu pakai cermin mata hitam,” kongsinya.
Kisah duka Zahnita yang hidup berendam air mata tidak pernah dikongsikan kepada sesiapa, termasuklah keluarga mahupun sahabat handai.
Ramai yang geram dengan tingkah laku suaminya yang dikatakan tidak bersyukur kerana memiliki isteri seperti Zahnita yang merupakan seorang jelitawan yang sanggup berkorban meninggalkan segala kemasyhuran, kecantikan dan masa muda hanya kerana ingin menggalas tugas sebagai seorang isteri dan ibu kepada empat orang cahaya mata.
Penganiayaan yang berlaku terhadap Zahnita turut mendapat perhatian Public Health Malaysia yang berkongsi apa tindakan yang harus diambil oleh wanita senasib dengannya.
Menerusi hantaran dalam akaun Facebook, Public Health Malaysia menyarankan wanita yang berdepan keganasan rumah tangga bangkit melindungi diri terlebih dahulu dengan meninggalkan tempat tinggal atau rumah di mana kejadian keganasan berlaku.
Zahnita juga sudah nekad mahu menuntut cerai daripada suaminya. Katanya ketika memasuki usia 13 tahun perkahwinan, dia baru tersedar dengan lelaki jenis apa sedang dihadapi. Namun ketika itu, dia seakan-akan tidak menemui jalan keluar.
Risau tentang masa depan anak-anaknya dan tidak mahu mereka merasai apa yang dilaluinya, Zahnita nekad menggunakan medium media sosial untuk mendedahkan segala-galanya.
Zahnita pernah berkongsi ada membuat laporan polis sebelum ini, namun tiada tindakan yang diambil sehinggalah kisahnya tular awal minggu sejak 2 Disember.
Melihat situasi menimpanya, ramai tertanya-tanya adakah sistem perundangan di Malaysia begitu lemah? Mujur ada medium media sosial yang akhirnya membuatkan jeritan batin wanita seperti Zahnita didengari ramai.
Melalui media sosial jugalah Zahnita mendapat sokongan moral dan kata-kata semangat daripada seluruh rakyat Malaysia yang simpati terhadapnya.
Mahu bangkit
Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, Zahnita nekad mahu bangkit dan meninggalkan segala derita dan traumanya jauh di belakang.
Ujar Zahnita, dia mahu bangkit dan kembali menjadi ‘Zahnita’ yang dahulu.
“Saya tidak lagi mahu kembali ke kehidupan yang lalu. Saya hanya mahu terus memandang ke depan. Saya akan bangkit kembali. Bangkit 10 kali lebih kuat daripada dahulu.
“Saya harap wanita di luar sana yang senasib dengan saya supaya cari jalan keluar. Jangan simpan duka terlalu lama. Jangan putus asa, kerana pasti ada jalan untuk anda keluar daripada kesengsaraan.
“Ingatlah sekali lelaki angkat tangan pada wanita, mereka tidak akan berhenti,” pesannya.
Dengan sokongan padu daripada rakyat Malaysia, pastinya Zahnita mampu bangkit membina semula kehidupan baharu bersama empat orang anaknya.
Bisnes pai hasil air tangannya juga semakin kencang sehingga tak menang tangan. Itu petanda permulaan yang baik untuk masa hadapan yang lebih cerah buat Zahnita.
Dalam masa sama, dia juga kembai menerima tawaran ‘modelling’ bernilai RM150,000 tetapi ditolak kerana berasakan peragaan bukan lagi dunianya. Selamat berjuang Zahnita!
The post Malang si jelitawan, Zahnita menghapus derita appeared first on Kosmo Digital.