Lima lelaki gaduh dengan kayu diberkas

JOHOR BAHRU – Pergaduhan yang tercetus membabitkan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Perrmas Jaya, di sini pada Isnin dipercayai berpunca akibat perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, seramai lima lelaki berusia lingkungan 17 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua mereka ditahan di empat lokasi berbeza sekitar Johor Bahru antara pukul 2.30 petang Selasa sehingga 12.10 tengah malam tadi.

“Susulan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenis dan dua batang kayu rotan.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati empat suspek tidak mempunyai rekod lampau manakala seorang suspek mempunyai dua kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Raub berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut selepas menerima maklumat video yang tular di media sosial menerusi akaun Facebook.

Jelasnya, video berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki merusuh menggunakan kayu di hadapan restoran berkenaan.

“Polis turut menerima satu laporan berhubung kejadian itu pada pada pukul 2.27 petang Selasa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 016-4831003 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Farra Azreen Hamzah 013-5781125,” ujarnya.

Katanya, ujian saringan urin yang dijalankan mendapati suspek berkenaan negatif daripada sebarang jenis dadah. – KOSMO! ONLINE

The post Lima lelaki gaduh dengan kayu diberkas appeared first on Kosmo Digital.