Lelaki samun kedai runcit guna pistol diburu polis

KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai runcit berdepan detik cemas apabila dia disamun seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol semasa berada di premisnya di Kampung Permatang Pusu di sini pada minggu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam pada 9 Disember lalu semasa mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an berada di kaunter juruwang premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah malam pada 10 Disember lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa didatangi suspek yang mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya sebelum meminta untuk menyerahkan wang tunai.

“Berdasarkan loghat pertuturan, suspek dipercayai merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan awal 40-an, berbadan kurus dan berketinggian lebih kurang 1.5 meter.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di talian 09-775 2200,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Rosdi, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki samun kedai runcit guna pistol diburu polis appeared first on Kosmo Digital.