Lawatan PMX ke luar negara bukan hadiah, rasuah dari syarikat

PETALING JAYA – Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara sebelum ini adalah sebahagian rasuah serta hadiah daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta adalah tidak benar.

Ini kerana kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, kos perjalanan bagi syarikat swasta dan GLC yang menyertai lawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat terbabit.

Malah katanya, tiada sumbangan kewangan diberikan kepada kerajaan atau Perdana Menteri.

“Perlu difahami, ini bukan isu rasuah, bukan hadiah, dan bukan juga satu bentuk ketidaktelusan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

“Penglibatan syarikat ini adalah inisiatif untuk mengembangkan pelaburan mereka yang sudah bertapak di negara tersebut, selari dengan usaha kerajaan mempromosikan kepentingan ekonomi negara di peringkat global.

“Lawatan ini menjadi platform strategik untuk menjalin hubungan erat antara pelabur tempatan dan antarabangsa,”katanya dalam satun kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kos yang turut dibiayai oleh GLC dan syarikat swasta yang ikut serta menyertai lawatan itu adalah bagi memastikan ia mencapai objektif strategik,

Antaranya, seperti menarik pelaburan, meneroka pasaran baharu disamping memperkukuh perdagangan.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat atau GLC yang terlibat.

“Prinsip ini jelas dalam kepimpinan beliau, yang sentiasa mengutamakan integriti dan amanah.

“Menyalahertikan sokongan kepada lawatan rasmi negara sebagai rasuah adalah fitnah besar yang bertentangan dengan prinsip Islam,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

The post Lawatan PMX ke luar negara bukan hadiah, rasuah dari syarikat appeared first on Kosmo Digital.