PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi bantuan sewajarnya kepada semua keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terlibat dalam kemalangan maut malam tadi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, bantuan kepada keluarga pelajar terlibat akan diberikan melalui Yayasan Perkasa Siswa.
“Pihak universiti dan KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa akan memberi bantuan sewajarnya kepada semua keluarga Almarhum. Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, media melaporkan jenazah ketiga-ketiga pelajar UiTM yang maut dalam kemalangan dirempuh sebuah SUV di hadapan kampus universiti itu telah dituntut keluarga masing-masing hari ini selepas menjalani dibedah siasat dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Dungun.
Jenazah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dari Sungai Buluh Selangor; Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang Selangor dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25, dari Muar Johor, kemudiannya dibawa ke Masjid UiTM Terengganu Kampus Sura Hujung untuk solat jenazah.
Dalam kejadian pukul 7.20 malam tersebut, sebuah Honda CRV dipandu seorang wanita merempuh dua motosikal yang ditunggang semua mangsa dari arah belakang.
Rempuhan itu menyebabkan ketiga-ketiga mangsa maut di tempat kejadian sementara seorang rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera pada bahagian belakang.
Ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.
Pemandu wanita yang merempuh empat pelajar itu dipercayai tidak siuman. – KOSMO! ONLINE
The post KPT bantu keluarga tiga pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV appeared first on Kosmo Digital.