BANDAR RAYA NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) meluahkan rasa kesal terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencapai kata sepakat mengecam serangan pejuang Hamas dalam mesyuarat tergempar yang diadakan secara tertutup.
Menurut organisasi pemantau bukan berasaskan keuntungan, Middle East Monitor, sebelum mesyuarat bermula, AS mendesak supaya semua ahli Majlis Keselamatan mengecam Hamas.
Namun, menurut beberapa diplomat, tiada negara mengemukakan cadangan untuk mengeluarkan kenyataan bersama berhubung isu tersebut, manakala Majlis Keselamatan PBB sering mempunyai pandangan berbeza mengenai isu Palestin.
“Terdapat sejumlah negara yang mengutuk serangan Hamas tetapi jelas bukan semua,” kata Penolong Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood selepas sesi itu.
Sementara itu, Duta Besar Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, mesej yang dibawanya adalah untuk menghentikan pertempuran serta-merta dan melaksanakan gencatan senjata serta rundingan bermakna, yang telah diperkatakan selama beberapa dekad.
“Krisis itu berlaku sebahagiannya disebabkan isu yang tidak dapat diselesaikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakan sejawatnya dari China, Zhang Jun berkata: “China mengutuk semua keganasan dan serangan terhadap orang awam.”
Jun turut menekankan keperluan untuk kembali kepada proses damai bagi mencapai penyelesaian dua pihak.
Sumber diplomatik berkata bahawa ahli-ahli Majlis Keselamatan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan kenyataan bersama, tetapi perbincangan adalah sukar.
Wakil Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour dalam sesi itu berkata, sejarah bagi sesetengah media dan ahli politik hanya bermula apabila penduduk Israel dibunuh.
“Kami tidak akan pernah menerima retorik yang memburukkan kemanusiaan dan mengingkari hak kami, retorik yang mengabaikan pencerobohan tanah kami serta penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Ini bukan masa untuk membiarkan Israel menggandakan pilihannya yang mengerikan. Ini adalah masa untuk memberitahu Rejim Zionis bahawa ia perlu mengubah haluan serta ada jalan menuju keamanan di mana tidak ada rakyat Palestin mahupun Israel yang terbunuh,” tegas Riyad. – AGENSI
The post Konflik Palestin-Israel: Majlis Keselamatan PBB gagal capai resolusi kecam Hamas appeared first on Kosmo Digital.