KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung kes kematian kucing di kawasan Universiti Malaya, di sini serta kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang aktivis haiwan berhubung kes tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada Khamis ini.
“Satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kes kematian kucing dan kenyataan yang dikeluarkan oleh aktivis haiwan seperti yang dilaporkan dalam media.
“Rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada hari Khamis,” katanya ringkas, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Aktivis haiwan, Shima Aris mendakwa kucing betina yang ditemui mati di Universiti Malaya (UM) dengan empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.
Perkara itu diperoleh hasil pemeriksaan terperinci dilakukan doktor veterinar di sebuah klinik veterinar swasta di sini yang turut melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas kucing yang dinamakan Lily itu.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan pihaknya menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati sekumpulan anjing liar bertindak menyerang beberapa ekor kucing di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan sehingga menyebabkan kematian.
Hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing tersebut adalah akibat serangan haiwan liar.
Setakat ini, polis menerima tiga laporan mengenai kejadian itu pada 17, 20 dan 21 Disember.
Bagaimanapun, tiada saksi yang melihat insiden tersebut berlaku.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE.
The post Kes kematian kucing: Rakaman percakapan aktivis haiwan akan diambil appeared first on Kosmo Digital.