[KEMASKINI] Polis sahkan tiga mangsa maut kemalangan di Mersing anak-beranak

MERSING – Polis mengesahkan tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya di sini malam semalam merupakan tiga beranak.

Mangsa dikenali sebagai Md. Yusuf Mukhtar, 71, dan isterinya, Rosnah Salleh, 65 maut di lokasi kejadian manakala anak mereka, Muhamad Izuddin, 36, meninggal dunia di Hospital Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima maklumat kemalangan itu kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton Persona.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dari arah Kota Tinggi.

“Akibat kemalangan ini, pemandu Toyota Vios cedera parah di bahagian perut serta patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“Sementara itu, pemandu Proton Persona seorang lelaki berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Mersing akibat cedera parah di bahagian kepala.

“Dua orang penumpang iaitu ibu dan bapanya masing-masing berusia 65 tahun dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, seorang lagi penumpang iaitu anak pemandu Proton Persona cedera di bahagian kepala dan masih dirawat di HSI, Johor Bahru.

Katanya, bagaimanapun kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun tersebut berada dalam keadaan stabil.

“Kesemua mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk urusan bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

The post [KEMASKINI] Polis sahkan tiga mangsa maut kemalangan di Mersing anak-beranak appeared first on Kosmo Digital.