Kemas bagasi bercuti, elak bawa berlebihan

APABILA bercakap mengenai percutian, mengemas bagasi adalah perkara terpenting kerana tidak kita mahu membawa terlalu banyak barang, seolah-olah mahu berpindah rumah.

Membawa banyak bagasi ketika bercuti amat menyusahkan, apatah lagi jika perlu menukar beberapa pengangkutan termasuk menaiki feri atau bot.

Selain itu, berkemungkinan barangan tersebut tercicir atau dicuri dan mood kita pasti terganggu selepas kepenatan menguruskan bagasi.

Dalam hal ini, bukan sahaja ibu bapa yang ada anak-anak mengalami kesukaran menguruskan bagasi ketika bercuti, malahan orang bujang turut melalui perkara sama.

Pada kali ini, Horizon ingin berkongsi tip untuk mengemas bagasi dengan mudah dan menjimatkan ruang.

MENGGULUNG pakaian dapat menjimatkan ruang bagasi bagi meletakkan barangan lain.
  1. Rancang awal

Perancangan awal adalah langkah wajib yang perlu dilakukan supaya anda tidak kelam-kabut dan tercicir untuk membawa barangan penting.

Ia juga bagi memastikan anda tidak main tangkap muat untuk membawa barangan yang hanya berada di depan mata, sedangkan item itu tidak mempunyai keperluan untuk digunakan semasa bercuti.

Elakkan mengemas pada saat-saat akhir kerana ia bukan sahaja membuat anda stres, tetapi memenatkan ­fizikal serta mental.

Pada waktu itu, anda perlukan rehat yang cukup untuk menempuh perjalanan yang panjang dan jauh.

Sepatutnya tujuan bercuti untuk merehatkan minda serta meluangkan masa berharga bersama keluarga atau sahabat handai dan bukannya menambahkan stres.

  1. Senarai semak

Buat senarai semak barangan yang ingin dibawa agar semuanya telah dimasukkan ke dalam beg atau bagasi.

Buat senarai semak seminggu sebelum tarikh percutian supaya anda mempunyai banyak masa untuk menyediakan barangan tersebut termasuk membelinya.

Senarai semak itu penting, apatah lagi jika anda bercuti dengan anak-anak yang ramai, pastinya perlu membawa barangan lebih berbanding orang bujang.

Ia juga membuatkan anda berasa lebih yakin dan relaks kerana tidak terlalu memerah otak untuk mengingati semua item yang ingin dibawa.

SENARAI semak penting agar tidak tertinggal barangan penting ketika bercuti. – GAMBAR HIASAN
  1. Menggulung pakaian

Berbanding kaedah melipat, menggulung pakaian diakui ramai sangat menjimatkan ruang dan membuatkan isi bagasi itu tersusun kemas serta boleh meletakkan pelbagai barangan lain.

Menariknya, kaedah menggulung bukan sahaja kemas tersusun, tetapi juga boleh mengurangkan kedutan fabrik.

  1. Lokasi

Pemilihan pakaian dan barangan yang dibawa perlu sesuai dengan lokasi dan aktiviti yang bakal dilakukan.

Seeloknya, pilih pakaian yang fleksibel dan mudah untuk disuai padan supaya anda tidak perlu membawa terlalu banyak baju sehingga memberatkan bagasi.

  1. Bilangan beg

Cukup membawa dua buah beg iaitu satu untuk pakaian dan satu beg kecil bagi meletakkan peralatan elektronik atau gajet.

Bilangan beg yang sedikit memudahkan pergerakan, selain dapat mengelakkan daripada tercicir dan sebagainya.

Bagi yang membawa anak-anak pula, dicadangkan membawa tiga buah beg.

The post Kemas bagasi bercuti, elak bawa berlebihan appeared first on Kosmo Digital.