LOS ANGELES, California – Zakar lelaki semakin memanjang dalam tempoh 30 tahun yang lalu, demikian menurut satu kajian baru yang membimbangkan pakar-pakar kesihatan, lapor portal berita MailOnline.
Menurut analisis yang dilakukan oleh pasukan penyelidik Universiti Stanford, mereka mendapati purata panjang zakar semasa ereksi meningkat 25 peratus antara tahun 1992 hingga 2021 iaitu dari 12.19 sentimeter (sm) kepada 15.24sm.
Bagaimanapun, pasukan penyelidikan berkenaan bimbang kerana keadaan itu mungkin disebabkan oleh pendedahan kepada bahan kimia, gaya hidup tidak aktif dan makanan ringan.
Pasukan penyelidik itu menerbitkan penemuan mereka pada 14 Februari lalu dalam penerbitan The World Journal of Men’s Health.
Mereka mengumpulkan data daripada 75 kajian yang dilakukan antara tahun 1942 hingga 2021, manakala secara keseluruhannya, sebanyak 55,761 zakar lelaki telah dimasukkan dalam kajian tersebut.
Dr. Michael Eisenberg iaitu seorang profesor urologi di Pusat Perubatan Stanford, berkata: “Sebarang perubahan keseluruhan adalah membimbangkan kerana sistem pembiakan kita adalah salah satu bahagian biologi manusia yang paling penting.
“Jika kita melihat perubahan pantas ini, ini bermakna sesuatu yang ketara sedang berlaku pada badan kita. Kita harus cuba mengesahkan penemuan ini dan jika disahkan, kita mesti mengenal pasti punca perubahan ini.” – Agensi
The post Kajian dapati saiz kemaluan lelaki meningkat berbanding 30 tahun lalu appeared first on Kosmo Digital.