Janji reformasi Pezeshkian tawan hati pengundi Iran

TEHRAN – Calon reformis tunggal, Masoud Pezeshkian semalam diumumkan menang pilihan raya Presiden Iran pada pusingan penentu yang diadakan kelmarin.

Pezeshkian, 69, meraih sekitar 53.6 peratus undian dalam pilihan raya pusingan kedua itu bagi menentang seorang lagi calon, Saeed Jalili yang berhaluan ultrakonservatif.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau menjadi Presiden kesembilan Republik Islam itu.

Pusingan pertama pilihan raya Presiden diadakan pada 28 Jun lalu ekoran kematian Presiden Iran kelapan, Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada Mei lalu.

Kemenangan Pezeshkian dilihat meningkatkan harapan para reformis Iran selepas bertahun-tahun negara itu didominasi oleh parti konservatif dan ultrakonservatif.

“Kami akan menghulurkan tangan persahabatan kepada semua orang. Kita semua adalah rakyat negara ini.  Semua orang perlu terlibat untuk kemajuan negara,” kata Pezeshkian selepas beliau memenangi pemilihan pusingan penentu.

Menjelang pilihan raya itu, pakatan reformis utama Iran memberikan sokongan kepada Pezeshkian dengan bekas presiden, Mohammad Khatami dan Hassan Rouhani yang berfahaman sederhana, mengisytiharkan sokongan terhadap beliau.

Pezeshkian akan mengambil alih jawatan Presiden di tengah-tengah ketegangan serantau yang memuncak berhubung perang di Semenanjung Gaza dan pertikaian dengan Barat mengenai program nuklear Iran.

Ia turut berlaku di tengah-tengah rasa tidak puas hati rakyat terhadap keadaan ekonomi negara yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.

Pakar bedah jantung yang lantang bersuara itu sebelum ini secara terbuka mengkritik kerajaan pimpinan Raisi berhubung cara pengendalian kematian seorang tahanan wanita Iran, Mahsa Amini yang berketurunan Kurdis.

Amini ditangkap kerana malanggar undang-undang negara itu dengan tidak memakai tudung dengan sempurna.

Dalam kempen baru-baru ini, Pezeshkian mengekalkan pendiriannya dengan mengkritik penguatkuasaan undang-undang yang mewajibkan pemakaian tudung dalam kalangan wanita dengan menutup kepala dan leher di khalayak ramai. Ia dikuatkuasakan selepas Revolusi Islam 1979. 

“Kami menentang sebarang tingkah laku ganas dan tidak berperikemanusiaan terhadap sesiapa sahaja, terutamanya adik-beradik perempuan dan anak perempuan kami.

“Kami tidak akan membenarkan tindakan ini berlaku,” katanya.

Beliau juga berikrar untuk melonggarkan sekatan internet dan melibatkan etnik minoriti dalam pentadbirannya. 

Pezeshkian dilahirkan di wilayah barat laut Iran, Azerbaijan Barat pada tahun 1954 oleh ibu berketurunan Kurdis, manakala bapanya berasal dari Turkiye. 

Beliau mewakili bandar Tabriz di Parlimen Iran sejak 2008, berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan Khatami dan menyelia penghantaran pasukan perubatan ke barisan perang semasa konflik Iran-Iraq antara 1980 hingga 1988.

Sebagai Presiden, Pezeshkian ditugaskan untuk melaksanakan dasar negara yang digariskan oleh Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, yang memegang kuasa tertinggi negara itu. – AFP

 

The post Janji reformasi Pezeshkian tawan hati pengundi Iran appeared first on Kosmo Digital.