KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak menjawab panggilan video daripada nombor telefon yang tidak dikenali.
Menurut perkongsian Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan (ASP) Bersara Rahmat Fitri Abdullah di TikTok, panggilan video tersebut merupakan taktik baru yang digunakan scammer untuk memeras ugut mangsa bagi mendapatkan wang.
“Jika anda menerima panggilan video daripada nombor tidak dikenali, jangan respon kepada panggilan tersebut kerana apabila anda menjawab panggilan itu, apa yang anda akan lihat ialah gambar ataupun video yang tidak senonoh daripada pihak sebelah sana (pemanggil).
“Apabila melihat adegan di sebelah sana, pihak sana akan ‘screenshot’ anda yang sedang menonton video itu,” katanya.
Katanya, pihak berkenaan kemudian akan menggunakan gambar ataupun rakaman yang memaparkan wajah penerima panggilan itu untuk mendapatkan wang dan mengugut akan menyebarkan rakaman tersebut kepada ahli keluarga sekiranya tidak mengikut kehendak mereka.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna berkongsi pengalaman menerima beberapa panggilan video daripada nombor telefon tidak dikenali.
“Saya dapat panggilan video berkumpulan di WhatsApp, saya ‘reject’ dan dia hubungi semula lebih 10 kali. Matikan data, hidupkan semula pun masih terima panggilan. Akhirnya saya matikan telefon terus,” kongsi Green Tea.
“Betul, suami sepupu saya dah kena. Almaklumlah yang video call pula cantik, seksi. Dia pun layanlah,” kata Rosny.
“Saya dah kena dulu dia cakap akan sebar pada semua yang kenal dengab saya dalam media sosial,” kongsi Yuqas.
“Nasihat yang cukup baik tuan. Saya selalu ingatkan anak-anak saya tentang nasihat-nasihat tuan, terima kasih tuan,” kata Salmiati. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan jawab panggilan video nombor tak dikenali appeared first on Kosmo Digital.