Inspektor jatuh Jambatan Pulau Pinang patah bahu, masih belum bergerak

GEORGE TOWN – Polis masih belum merekodkan keterangan daripada pegawai polis berpangkat inspektor selepas dia didakwa menolak teman wanitanya dari Kilometer 2.8. Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pegawai polis tersebut sedang menerima rawatan di hospital kerana mengalami patah bahu sebelah kiri dan masih tidak dapat bergerak setakat ini.

“Kita masih belum merekodkan keterangan daripada pegawai polis ini kerana dia masih dirawat di hospital,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, anggota terbabit bersama teman wanitanya dilaporkan terjatuh ke laut sebelum kedua-dua mereka diselamatkan orang awam yang juga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).

Pasangan tersebut sebelum itu dikatakan bertengkar di atas jambatan berkenaan sebelum kedua-duanya terjatuh ke dalam laut.

Susulan kejadian itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh selepas wanita yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang semalam mendakwa dia ditolak teman lelakinya.

Menurut Kok Chin, polis telah merekodkan keterangan daripada tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada wanita yang terjatuh ke dalam laut itu, anggota tentera yang menyelamatkan kedua-dua mangsa dan doktor yang merawat mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Inspektor jatuh Jambatan Pulau Pinang patah bahu, masih belum bergerak appeared first on Kosmo Digital.