SEGAMAT – Anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, yang melecur ketika membantu memadam kebakaran di sebuah kilang habuk papan di Segamat, Sabtu lalu, meninggal dunia di Hospital Segamat, pagi hari ini.
Adik mangsa, Azizul Mahrani, 36, berkata allahyarham meninggal dunia kira-kira 9.24 pagi ini akibat kecederaan melecur parah yang dialaminya.
Menurut Azizul, abangnya telah berkhidmat di kilang berkenaaan sebagai penolong pengurus sejak puluhan tahun lalu.
Dia meninggalkan seorang balu, Normala Sudirman, 40, dan tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki berusia diantara 12 sehingga lapan tahun.
“Pemergian arwah abang merupakan satu kehilangan besar buat seluruh keluarga kami. Arwah abang seorang anak yang baik dan bertanggungjawab.
“Kami bercadang untuk bercuti di sekitar Selangor dalam masa terdekat namun takdir ini yang tiba,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini hari ini.
Terdahulu, berlaku kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu pada Sabtu lalu hingga mengorbankan seorang Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, yang tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah. -K! ONLINE
The post Insiden letupan: kakitangan kilang turut meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.