PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi pengalaman yang menjijikkan apabila menemui seekor ulat bersama lauk ikan patin.
Menerusi satu hantaran di Thread, lelaki itu pada mulanya menyangka objek tersebut adalah bunga kantan, namun setelah menggigitnya, dia mendapati ia adalah seekor ulat.
“Memang pelik, sebab selalu makan nasi kerabu dengan bunga kantan, tapi kali ini rasanya lain. Lepas gigit, baru perasan benda tu ulat,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen berkongsi pengalaman menggelikan yang serupa, selain saling menasihati untuk lebih berhati-hati ketika menikmati makan.
“Saya pernah jumpa ulat ini masa makan bubur lambuk tahun lepas. Teringat lagi, bila gigit tu rangup je. Tahu-tahu tinggal kepala sahaja dalam sudu,” kata Mimi Samad.
“Kalau pais patin mungkin peniaga tidak perasan dalam tempoyak ada ulat durian itu,” tambah Nurul Aliana Fatin.
“Kalau saya selalu nak makan kena tilik dulu sebelum kena jari,” ujar Naniemonteru. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ingatkan bunga kantan rupanya ulat’ appeared first on Kosmo Digital.