PETALING JAYA – Kecoh di media sosial ketika ini berkenaan pemilikan MyKid yang didakwa tertangguh sehingga enam bulan.
Bukan itu sahaja, orang ramai juga mengeluh berkenaan terpaksa membawa surat beranak anak masing-masing jika ingin membuat sebarang urusan berkaitan.
Menerusi satu perkongsian di Facebook hari ini, ibu bapa terpaksa menunggu lebih dari enam bulan untuk mendapatkan MyKid kerana alasan kad tersebut tiada stok.
Difahamkan keadaan tersebut sudah berlaku agak lama seperti tiada cara tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berwajib.
“Ke hulu hilir bawa surat beranak, kalau surat beranak tu kecik tidak mengapa, ini kemain lagi besar.
“Difahamkan MyKid sekarang tiada stok, ibu bapa terpaksa menunggu lama untuk dapatkannya, bagi kami ibu bapa agak susah jika ada urusan.
“Diharapkan pihak berwajib selesaikan isu ini jangan berlarutan,” jelas perkongsian tersebut hari ini.
Rata-rata pengguna media sosial turut sependapat dan inginkan tindakan segera dilakukan kerajaan.
“Tolong pantau juga isu ini, sampai bila kami ibu bapa nak tunggu,” jelas Nur Lisma.
“Ada yang tunggu sejak dari akhir tahun lepas lagi, katanya ada yang masih belum dapat tanpa ada sebarang notis dari Jabatan Pendaftaran Negara,” kata Adzhar Mokhtar.
Terdahulu, pada Mac lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan 30 peratus kad MyKid masih tidak dituntut oleh penjaga atau ibu bapa selepas memohonnya di Jabatan Pendahtaran Negara (JPN).
Tanpa menyebutkan jumlah keseluruhan kad yang belum diambil, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga tidak menafikan berlaku kelewatan perolehan kad MyKid buat masa ini.
“Di sebalik keluhan ibu bapa berhubung soal kad MyKid lambat diperoleh, masih banyak juga jumlah penjaga dan ibu bapa yang belum menuntut kad tersebut.
“Saya mewarisi sistem lama, satu proses tender terbuka telah dibuat dan dimenangi sebuah syarikat, tetapi kemudiannya masalah ketidakcukupan bahan membuat kad tersebut berlaku,” katanya.
Menurut Saifuddin, masalah ketidakcukupan bahan membuat Mykid secara tidak langsung mendorong proses memperoleh kad itu juga menjadi lambat. – KOSMO! ONLINE.
The post Ibu bapa berang MyKid tiada stok appeared first on Kosmo Digital.