KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penggunaan MyKad untuk tujuan pembelian minyak masak berpeket berbanding cadangan penggunaan pengenalan diri khas (ID)
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, berkenaan pembelian oleh peniaga micro pula perlu dibincangkan kerana tidak semua mendaftar perniagaan.
“Sekiranya memudahkan dengan “link” kepada MyKad kita boleh pertimbangkan. Berkenaan dengan peniaga micro kita perlu bincang lagi sebab mereka tak semua berdaftar.
“Apapun.. relaks… kita belum muktamadkan mekanisma. Kita cuma dah muktamadkan penerima. Libat urus berterusan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Fuziah memaklumkan, hanya mereka yang layak dan ada ID boleh mendapatkan minyak masak berpeket selepas kerajaan melaksanakan subsidi bersasar yang dijangka bermula tahun depan.
Langkah itu ekoran aduan minyak masak bersubsidi tiada di pasaran sedangkan kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan.
“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan di sahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang peket bersubsidi ini.
“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC (MyKad) atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro,” katanya.
Pengumuman itu namun mengundang kritikan ramai yang berpandangan penggunaan MyKad adalah lebih wajar dan memudahkan untuk urusan pembelian minyak masak berpeket. – KOSMO! ONLINE
The post Guna MyKad beli minyak masak peket appeared first on Kosmo Digital.