Food Bank Siswa bantu 15,000 pelajar di kampus 

PUTRAJAYA – Lebih 15,000 pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berada di kampus di tiga zon iaitu Zon Tengah, Utara dan Pantai Timur menerima bantuan Food Bank Siswa sejak Mei lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, agihan Food Bank Siswa itu dijalankan dengan kerjasama Sekretariat Food Bank Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, Food Bank Siswa diperkenalkan bagi membantu pelajar-pelajar IPT yang berada di kampus.

“Melalui kerjasama ini, proses penghantaran bantuan makanan Food Bank Siswa diselaras oleh universiti peneraju yang dilantik mengikut zon.

“Seterusnya, bantuan kemudian diagihkan oleh sukarelawan di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, kerjasama itu membolehkan agihan Food Bank Siswa dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berstrategi di IPT.

Noraini berkata, Food Bank Siswa menyasarkan pelajar B40, asnaf, fakir miskin dan berkeperluan sekali gus menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi pelajar supaya mereka lebih fokus terhadap sesi pembelajaran di kampus. -K! ONLINE

The post Food Bank Siswa bantu 15,000 pelajar di kampus  appeared first on Kosmo Digital.