IPOH – Tindakan dua wanita memberi maklumat palsu untuk memohon kad pengenalan dan pendaftaran kelahiran kanak-kanak membawa padah apabila berjaya dikesan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak.
JPN Perak dalam kenyataannya berkata, dua wanita itu ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaa JPN Perak dalam operasi terancang di kaunter JPN Sungai Siput semalam.
Katanya, pendakwaan ke atas kedua-dua wanita itu kemudiannya dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Siput dengan masing-masing didenda sebanyak RM2,000 dan RM3,000.
“Kes pertama melibatkan seorang wanita yang ditahan kerana memberi maklumat palsu dalam butir material apabila menggunakan maklumat dirinya untuk permohonan kad pengenalan 12 tahun bagi seorang kanak-kanak.
“Wanita terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada tertuduh dan memerintahkan wanita itu dihukum dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kes kedua pula melibatkan seorang wanita yang ditahan kerana memberi maklumat palsu dirinya bagi daftar kelahiran seorang kanak-kanak.
Katanya, bagi kes kedua itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Bagi kesalahan itu, tertuduh telah dijatuhkan hukuman denda RM3,000 dan sekiranya gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua wanita beri maklumat palsu daftar MyKad, kelahiran ditahan appeared first on Kosmo Digital.