PORT DICKSON – Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membantu aktiviti pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along, minggu lalu.
Tertuduh, R Logeswaran, 25, dan V Rajasingam, 22, yang berasal dari Sepang, Selangor, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Majistret turut menetapkan tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya telah membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan memasang banting berkaitan pinjaman tersebut.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.40 petang di Jalan Pasar Pekan Lukut pada 18 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap oleh sepasukan polis dari Balai Polis Lukut semasa tugas ronda cegah jenayah khas ketika sedang menjalankan pemasangan banting pinjaman wang tanpa lesen pada papan tanda jalan sehala di pasar tersebut.
Pemeriksaan telah dijalankan ke atas kenderaan yang digunakan dan polis telah merampas antaranya satu unit banting yang tertera tulisan pinjaman berlesen 013-5553454 dan satu ikatan tali yang mengandungi 90 unit banting tertera tulisan yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Adam Hasan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki bantu along pasang iklan didenda RM3,000 appeared first on Kosmo Digital.