Dua cedera parah nahas tujuh kenderaan

SEREMBAN – Dua individu parah manakala tiga yang lain cedera ringan selepas masing-masing terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan lima buah kereta di Kilometer 274.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (Arah Utara) antara laluan Bandar Ainsdale ke Nilai, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati, sebuah buah lori jenis Daihatsu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 74 tahun bersama kelindan berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Kajang, Selangor.

Menurut beliau, apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan telah hilang kawalan lalu kenderaannya terbabas ke kanan jalan dan menyebabkan lima buah kereta serta serta sebuah lori berlanggar sesama sendiri.

“Akibat kemalangan, pemandu serta penumpang sebuah kereta jenis Perodua Ativa mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Tiga orang penumpang kenderaan jenis Perodua Myvi serta kelindan lori jenis Daihatsu pula mengalami cedera ringan dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama. Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142. – KOSMO! ONLINE

The post Dua cedera parah nahas tujuh kenderaan appeared first on Kosmo Digital.