‘Bayar RM40,000, atau kena renjat elektrik, diseksa

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Pulau Pinang diugut akan dipaksa bekerja bagaikan hamba, dipukul, dikurung dalam bilik gelap atau dikenakan renjatan elektrik jika ibu bapanya tidak membayar wang tebusan sebanyak RM40,000.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang dipercayai diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar itu juga diugut akan dijual ke kompaun yang lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, mangsa pada Julai tahun lalu, bekerja di sebuah kilang di Johor sebagai penyambut tetamu, namun dilaporkan hilang kira-kira dua minggu selepas itu selepas dipercayai melarikan diri dari asrama tempatnya bekerja.

Beliau menjelaskan, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu, kemudiannya ada menghubungi ibu bapa dan memaklumkan dia ketika itu berada di Thailand, manakala panggilan seterusnya di lokasi berbeza iaitu di Myanmar.

“Tamat sekolah di Pulau Pinang, mangsa kata mahu bekerja di Singapura dengan kawan. Namun bapanya tidak yakin dan tidak mahu ambil risiko buatkan pasport, jadi benarkan kerja di Johor sahaja.

“Dia dibawa masuk ke Mynmar ketika berumur 17 tahun. Kita syak dia keluar dari Malaysia dan masuk Myanmar guna jalan tikus sebab bapanya sahkan yang dia tak benarkan gadis ini buat pasport,” katanya ketika sidang media ibu negara, hari ini.

Hishamuddin berkata, ibu bapa mangsa tidak membuat laporan polis ketika itu kerana diyakinkan oleh anaknya supaya tidak perlu bimbang berikutan kontrak pekerjaan di Myanmar itu hanya untuk tempoh setahun dan akan dibenarkan pulang selepas itu.

“Namun sebaliknya berlaku selepas setahun, iaitu Oktober lalu, ibu bapa mangsa dimaklumkan syarikat itu mungkir janji, tidak melepaskan mangsa malah diminta membayar RM40,000 untuk urusan penghantaran pulang anaknya itu.

“Laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Skudai pada 25 Oktober lalu ketika anaknya tidak dapat dikesan di Johor, dan kedua pada 25 September lalu di Balai Polis Nibong Tebal, selepas syarikat itu mungkir janji, ” ujarnya.

Sementara itu, ibu mangsa yang berusia 42 tahun berkata, kali terakhir mangsa menghubunginya adalah semalam dan anaknya itu meminta serta merayu supaya bayaran berkenaan dibuat segera.

“Anak cakap dia akan dijual ke tempat lain kalau tak bayar. Dia cakap sambil menangis, beritahu di sana sangat teruk dan ‘hitam’ selain kata nak cepat pulang sahaja.

“Saya tak mampu sebab hanya suri rumah dan suami pula kerja sebagai pemandu lori sahaja. Sebab tu saya minta bantuan MHO atau kedutaan Myanmar dan Malaysia di sana untuk bawa anak saya pulang segera,” rayunya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa supaya keluarga tidak membayar wang tebusan kepada sindiket dan kurangkan berhubung dengan mangsa.

“Jangan buat apa-apa bayaran. Kita nak sindiket tu rasa anak mereka umpama ‘tiada nilai’ kerana jika tidak, mereka akan terus minta wang dan culik orang lain lagi.

“MHO tegas dan tidak menyokong mana-mana pihak yang bayar wang tebusan. Kalau bayar, MHO tidak masuk campur lagu sebab kami ada kaedah untuk selesaikan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Bayar RM40,000, atau kena renjat elektrik, diseksa appeared first on Kosmo Digital.