Bantuan FLYsiswa naik RM400 tahun depan

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan RM400 bagi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti untuk tahun depan.

Ini secara langsung adalah tambahan subsidi RM100 kepada para pelajar tersebut termasuk kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Anwar berkata, ini bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan para pelajar dalam menuntut ilmu secara
keseluruhannya.

“Sebab itu diumumkan dari RM200 kepada RM300 dan tahun depan naik RM400. Ini melibatkan (peruntukkan) sebanyak RM48 juta.

“Ini kerana iktihar kita memikirkan negara ini perlu menjaga kesatuan (untuk semua para pelajar di negara ini),” katanya ketika berucap merasmikan Karnival FLYsiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan bantuan itu akan memanfaatkan dengan anggaran 50,000 pelajar yang terlibat.

Ujarnya, inisiatif tersebut juga bagi menetapkan kadar tambang maksima pada musim perayaan.

“RM400 ini membantu beban pelajar termasuk sekiranya tiket dibeli awal mungkin boleh dapatkan untuk pergi dan balik dengan lebih murah.

“Kalau Kuala Lumpur dan Kuching contohnya kurang daripada RM200 bagi satu tiket. Tambahan pula kerajaan negeri Sabah dan Sarawak memberikan bantuan RM6, 000. Jadi keseluruhan RM1, 000 setahun untuk pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, seramai 35,000 pelajar atau 70 peratus telah menebus bantuan itu pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

The post Bantuan FLYsiswa naik RM400 tahun depan appeared first on Kosmo Digital.