Banjir Kedah: Budak mati lemas polis siasat unsur kecuaian

POKOK SENA – Polis tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian menjadi sebab seorang kanak-kanak lemas dalam kejadian di Lorong Seri, Alor Setar semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, sehubungan dengan itu pihaknya akan memanggil keluarga kanak-kanak berkenaan bagi siasatan lanjut.

“Siasatan itu menjurus kepada kecuaian kerana lokasi ia berlaku yang mana ada parit. Tetapi kita tengok dari segi siasatan polis unsur-unsur itu ada (kecuaian).

“Dalam keadaan begini ibu bapa semua ketua keluarga… semua orang mesti bertanggungjawab menjadi keselamatan keluarga masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau di sini hari ini.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia disyaki lemas setelah terjatuh dalam longkang dalam kejadian banjir di Lorong Seri, di sini semalam.

Difahamkan mangsa, Noraisyah Misha Afifah Abdul Fatah keluar bermain bersendirian di luar rumahnya di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3 petang. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Kedah: Budak mati lemas polis siasat unsur kecuaian appeared first on Kosmo Digital.