Anwar perlu minta maaf tuduh tentera undi awal dibayar

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memohon maaf kepada semua angkatan tentera atas penghinaannya yang menuduh tentera mengundi awal di Bera dibayar RM300.

Beliau berkata tuduhan jahat yang tidak benar itu merupakan satu penghinaan kepada anggota tentera yang selama menjadi benteng dalam mempertahankan negara.

“Saya minta kepada Anwar supaya tarik balik tuduhan kerana saya anggap tuduhan ini menghina anggota tentera di seluruh negara kerana bukan sahaja di Bera yang mengundi awal tetapi seluruh negara undi awal

“Saya harap Datuk Seri Anwar meminta maaf bukan kepada saya tetapi kepada angkatan tentera yang mengundi awal kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam satu program PH di Kuala Nerus Terengganu mendakwa anggota tentera di Kem Tentera Rejimen Ke-34 Artileri Diraja mula mengundi hari ini dan mendapat bayaran RM300.

Menurut Ismail Sabri tuduhan yang dibuat Anwar itu mencemarkan imej anggota tentera bukan sahaja di Bera tetapi di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau berkata, sepatutnya Anwar harus faham bahawa anggota tentera boleh mengundi pos seperti polis yang bertugas dan media.

Katanya, bukan sahaja anggota tentera di Bera mendapat keistimewaan undi pos tetapi semua yang bertugas di seluruh negara sepertimana ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya. – KOSMO! ONLINE

The post Anwar perlu minta maaf tuduh tentera undi awal dibayar appeared first on Kosmo Digital.