BANGKOK – Seorang ketua sami Buddha menjadi tajuk utama berita di Thailand apabila dia menjemput penduduk di wilayah utara Phittanulok ke acara pengebumiannya sendiri, lapor laman berita Thaiger semalam.
Ketua sami di sebuah kuil tempatan itu masih hidup dan sihat tetapi mahu memberikan mesej kepada pengikutnya bahawa kematian adalah normal dan hanya sebahagian daripada kehidupan dengan mengadakan pengebumian tersebut.
Pengebumian di Kuil Pothiyan mengikut amalan tradisional Buddha Thailand. Sebuah keranda dengan mayat palsu yang diperbuat daripada pokok pisang turut dibakar di tempat pembakaran mayat di kuil itu.
Seramai 55 sami melaungkan doa ketika keranda itu dihantar ke tempat pembakaran mayat. Penduduk tempatan yang hadir pula perlu berpakaian hitam.
Sebuah tanda diukir nama sami itu, Sunthorn Rojanakhun dengan tarikh lahirnya pada 23 Oktober 1968 dan ‘tarikh kematian’ pada 23 Oktober 2048. Dia menjangkakan akan meninggal dunia ketika berusia 80 tahun.
Pengebumian itu bertujuan untuk menormalkan pemikiran terhadap kematian. Tambahnya, tiada keperluan lagi untuk mengadakan acara pengebumian setelah dia meninggal dunia kerana sudah dilakukan ketika dia masih hidup.
Mereka yang menghadiri majlis pengebumian itu juga masing-masing mendapat 5 kilogram beras sebagai hadiah. Beberapa penduduk memberitahu media bahawa mereka bercadang untuk membeli tiket loteri dengan nombor yang sepadan dengan usia ketua sami itu. – Agensi
The post Anjur acara pengebumian sendiri untuk ingat mati appeared first on Kosmo Digital.