Anak rapat dengan suami – Nora

PUTRAJAYA – “Anak-anak sangat gembira, mereka juga sangat rapat dengan suami,” kata penyanyi, Datuk Nora Ariffin ketika ditanya mengenai perkahwinan baharunya.

Menurutnya, jalinan persahabatan antara suami pertama, komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi dengan lelaki dinikahinya kini merapatkan lagi hubungan dengan anak-anaknya.

“Mereka sangat rapat, iyalah kawan papa (Allahyarham Johan), jadi lebih dikenali dengan kawan papa sekali gus menjadikan hubungan mereka rapat. Alhamdulillah, sekarang ini kami solat berjemaah di rumah, usrah, tazkirah selain motivasi.

“Saya tidak ada ibu jadi serah kepada dia (suami) untuk bercerita apa-apa. Malah apabila anak saya nak periksa, (suami ajarkan) baca doa begini, begini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Penajaan Anak Angkat Sakeenah Soul International (SSI) di sini hari ini.

Ditanya mengenai majlis perkahwinan, Nora berkata, sejak dari awal lagi, dia lebih memfokuskan untuk melaksanakan perkara wajib.

“Memang dari awal tidak ada niat nak buat. Bagi saya benda wajib sahaja perlu dibuat, namun mungkinlah (jika diadakan) Insya-Allah selepas selesai semuanya iaitu majlis kesyukuran sebagai tanda bersyukur. Tidak ada majlis besar-besaran.

“Sebenarnya berkenaan perkahwinan ini, saya tak nak kongsikan kerana bukan niat saya tetapi kadang-kadang orang bertanya. Jadi nak elak fitnah kerana orang create story (reka cerita), kita kena perbetulkan,” katanya.

Bagaimanapun, Nora tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan tarikh sebenar pernikahan dengan suaminya. – K! ONLINE.

The post Anak rapat dengan suami – Nora appeared first on Kosmo Digital.