Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 dikuat kuasa esok, selaras Dasar Peluang Kedua

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan akan menguatkuasakan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] esok, seiring dengan Dasar Peluang Kedua serta memperkasa pentadbiran kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan Akta A1695 itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara. 

Beliau berkata, perkara itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada bankrap untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan seterusnya dapat kembali bersama-sama untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Pindaan utama adalah berhubung dengan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap. Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempo masa tiga hingga lima tahun dari tarikh bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.

“Subseksyen 33(2A) Akta 360 berkenaan dengan kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang turut dipinda untuk menambah dua kategori baharu. 

“(Iaitu) Bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya disebabkan oleh sakit mental mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615]; dan bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas, yang pada pendapat dan budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi tidak berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata, selaras dengan objektif Dasar Peluang Kedua, pindaan kepada seksyen 33C dan subseksyen 33(2) Aka 360 dikuatkuasakan secara retrospektif kepada kes kebankrapan yang ditadbir sebelum permulaan kuat kuasa Akta A1695. 

Katanya, Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa. 

“Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi,” katanya. 

Tambah beliau, melalui pelaksanaan Akta A1695 itu, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan nots dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik.

Selain itu, katanya, sebagai inisiatif untuk mempercepat pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan.

“Bagi memelihara kebajikan bankrap, Akta A1695 turut membuat semakan nilai mengenai had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang; dan had nilai bagi maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas,” katanya.  -UTUSAN

 

Habis 

The post Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 dikuat kuasa esok, selaras Dasar Peluang Kedua appeared first on Utusan Malaysia.