ABIDJAN – Juara tiga kali, Nigeria dijangka berdepan tugas untuk mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2024 apabila berdepan Angola dalam aksi suku akhir di Stadium Felix Houphouet Boigny awal pagi esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, Super Eagles masih gagal menewaskan Angola apabila mencatat satu kekalahan dan seri dua daripada tiga perlawanan antara kedua-dua pasukan.
Bukan itu sahaja, Angola juga telah membuktikan mereka wajar diangkat antara pasukan pilihan menerusi kejayaan meledak sembilan gol daripada empat perlawanan ketika ini.
Penyerang Nigeria, Paul Onuachu mengingatkan rakan sepasukannya agar berwaspada dengan ancaman daripada Angola yang kini dalam perjalanan untuk menempa sejarah memburu kejuaraan pertama buat negara itu.
“Kami perlu mengambil serius perlawanan ini seperti kami lakukan ketika menewaskan Cameroon (pusingan 16). Saya akui Angola bukan lawan mudah kerana setiap pasukan di peringkat ini mempunyai kekuatan tersendiri.
“Malah, semua mahu menewaskan Nigeria, terutamanya pasukan-pasukan yang berstatus underdog. Sekarang kami perlu berikan fokus terbaik untuk merealisasikan sasaran pasukan ke pentas final,” katanya.
Sebagai rekod, Nigeria melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Cameroon menerusi dua jaringan daripada Ademola Lookman, manakala Angola menumbangkan Namibia 3-0. – AGENSI
The post AFCON: Nigeria waspada ancaman Angola appeared first on Kosmo Digital.