‘Bom jangka’ KDN FC boleh meletup

ANGGOTA pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bersedia untuk memanjangkan isu tunggakan gaji ke peringkat lebih serius sekiranya pihak pengurusan terus gagal melunaskan bayaran kepada pemain dan barisan kejurulatihan.

Ketika ini barisan pemain dan kejurulatihan sanggup untuk berlembut dan ‘beri muka’ kepada pihak pengurusan untuk mencari solusi terbaik kerana sedar mereka sedang berusaha keras hingga menyalurkan sedikit bayaran sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sebelum raya (bayaran terakhir) tetapi tak cukup di mana gaji tidak penuh.

“Setelah enam bulan tidak dapat, jumlah itu saya rasa sedikit, tidak bermakna tidak bersyukur dan kami tetap berterima kasih atas usaha ditunjukkan tetapi masih ada lagi bayaran perlu dijelaskan.

“Kita masih beri ruang kepada pengurusan untuk selesaikan masalah sebab itu kita tidak buat laporan ke mana-mana lagi.

“Pemain pun berkorban, datang ke perlawanan dengan kewangan sendiri dan saya rasa pengorbanan mereka perlu dibalas sebaiknya.

“Harapan saya kali ini (pengurusan) lebih serius, segala janji perlu ditepati. Kalau tidak berlaku, kita akan bawa perkara ini ke peringkat lebih serius,” kata penolong jurulatih KDN FC, Reezal Zambery Yahya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kelmarin.

Pada aksi terakhir Liga Super itu, KDN FC tewas 2-5 kepada Kuala Lumpur City (KL Cty) FC sekali gus berada di tangga tercorot Liga Super dengan hanya meraih tujuh mata daripada 24 perlawanan.

“Kena situasi menang-menang (jika mahu berunding), kita tengok macam mana kerana kita pun ada hak. Persetujuan di tangan kita namun kita kena lihat tawarannya nanti,” tambahnya.

The post ‘Bom jangka’ KDN FC boleh meletup appeared first on Kosmo Digital.