Usaha Malaysia diiktiraf PBB

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf usaha Malaysia dalam melipatgandakan usaha mengekang kegiatan penyahhutanan bagi memulihara biodiversiti dengan lebih cekap dan berkesan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia dilaksanakan secara integrasi dalam pelaksanaan kerangka biodiversiti global (KMGBF) ke dalam Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.

Katanya, Malaysia merupakan antara negara terawal melaksanakan kerangka itu.

“Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia turut menduduki tempat pertama bagi Anugerah ‘National Clearing-House Mechanism’ susulan pencapaian yang paling signifikan di peringkat nasional.

“Pencapaian ini adalah sangat signifikan kerana setakat ini hanya 20 peratus negara Parti yang berbuat demikian,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sesi Dialog Pasca Persidangan Parti-Parti Ke-16 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16) di sini, hari ini.

Menurut Nik Nazmi, pencapaian Malaysia menarik perhatian Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres.

Tambahnya, Malaysia turut mengetengahkan keputusan CBD COP16 yang diadakan di Cali, Colombia untuk penubuhan dana global ‘Cali Fund’ bagi tujuan perkongsian faedah secara adil dan saksama daripada digital sumber genetik.

“Semua pihak perlu memperkukuhkan pendekatan ini bagi memastikan usaha pemuliharaan biodiversiti dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Usaha Malaysia diiktiraf PBB appeared first on Kosmo Digital.