KUALA LUMPUR – Sebuah restoran berbeku di Bandar Botanic, Klang yang diserbu polis kerana menggunakan peralatan hidangan bercirikan unsur komunis didapati menjadikan elemen tersebut sebagai strategi pemasaran untuk menarik perhatian pelanggan, terutama warga China.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal menunjukkan taktik itu digunakan pemilik restoran berkenaan sebagai cara untuk memberikan pengalaman menyerupai suasana kampung halaman mereka.
Katanya, barangan seperti mangkuk, cawan, dan sudu dengan cetakan gambar Mao Zedong, bekas Presiden Komunis China, dipercayai dibeli secara dalam talian oleh teman lelaki pemilik restoran tersebut yang kini berada di China.
“Peralatan itu digunakan di restoran sejak mula beroperasi. Setakat ini, hanya seorang individu yang juga pengurus restoran berusia 20 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razarudin turut mengesahkan bahawa semakan awal mendapati restoran tersebut masih memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Bagaimanapun, pihaknya akan membuat pemeriksaan lanjut untuk memastikan tiada pelanggaran peraturan lain.
Kelmarin, polis menyerbu sebuah restoran berbeku di Bandar Botanic, Klang, selepas disyaki mempromosikan elemen budaya komunis melalui peralatan hidangan yang memaparkan gambar pemimpin komunis terkenal.
Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira pukul 10 malam selepas menerima maklumat berdasarkan satu video tular di akaun YouTube ‘Luiswong90’.
Seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga pengurus restoran berkenaan sudah ditahan.
Menerusi serbuan itu, sebanyak lima mangkuk seramik saiz kecil berwarna putih berjalur biru tercatit tulisan bahasa Cina dan gambar disyaki muka Presiden Komunis China bernama Mao Zedong bersama rakannya dirampas.
Turut dirampas, satu cawan kaca teh seramik warna putih berjalur biru tercatit tulisan Cina dan gambar beberapa orang.
Selain, tiga sudu sup seramik warna putih berjalur biru terdapat gambar disyaki muka Mao Zedong.
Siasatan lanjut dilakukan polis mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan 505(b) Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.
The post Restoran promosi unsur komunis untuk tarik pelanggan warga China appeared first on Kosmo Digital.