KULIM – Sepasukan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memeriksa sekitar kawasan kebun dan rumah yang disyaki menjadi tempat makanan ringan dicampur racun tikus digantung di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, di sini.
Difahamkan, pasukan itu turut mengambil peket kecil bertulisan Cina yang dipercayai pembungkus racun tikus jenis serbuk berdekatan kawasan longgokan sampah.
Tinjauan juga mendapati sepasukan polis turut mengunjungi rumah itu dan mendapati pemilik rumah tidak berada di kediaman.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Azizul Mohd. Khairi turut mengesahkan tiada sebarang tangkapan dilakukan pihak polis setakat ini.
Terdahulu, polis telah mengambil keterangan daripada dua individu berusia 53 dan 34 tahun yang disyaki meletakkan bungkusan makanan ringan mengandungi racun itu pada dawai besi sekeliling pagar kebunnya.
Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, disedari ibu mereka dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini selepas termakan jajan bercampur racun tikus.
Muhammad Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 8.30 pagi tadi sementara Muhammad Luth Syauqi yang sedang menerima rawatan di hospital sama masih belum sedarkan diri. – KOSMO! ONLINE
The post Peket racun tikus dijumpai dekat longgokan sampah appeared first on Kosmo Digital.