Penyeludup licik seludup petrol, bungkus bahan api guna plastik

PADANG BESAR – Penyeludup dijangka menjadi lebih licik mengatur strategi dan modus operandi untuk menyeludup petrol bersubsidi ke Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pihaknya percaya penyeludupan petrol akan meningkat menggunakan bermacam taktik susulan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan pada 10 Jun lalu.

“Harga petrol di negara kita dengan Thailand jauh berbeza yang mana RON97 yang setara dengan RON95 di Thailand perbezaannya adalah kira-kira RM2.43 seliter, manakala perbezaan RON95 yang setara dengan RON91 Thailand pula adalah sekitar RM2.56,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Padang Besar, di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya juga percaya penyeludupan diesel akan tetap berlaku berikutan harga diesel negara masih rendah berbanding Thailand dengan perbezaan harga kira-kira 85 sen seliter, ketika ini.

“Ini kerana permintaan diesel di Thailand sangat tinggi kerana negara itu menitikberatkan pertanian yang memerlukan diesel berikutan penggunaan jentera berat dan kenderaan pacuan empat roda,” ujarnya.

Sehubungan itu, ujarnya, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi dan pemeriksaan bagi mengesan apa juga modus operandi dilakukan penyeludup, seterusnya mematahkan cubaan penyeludupan bahan api ke negara jiran. – KOSMO! ONLINE

The post Penyeludup licik seludup petrol, bungkus bahan api guna plastik appeared first on Kosmo Digital.