KPT bantu penangguhan pengajian Siti Nurul Masyitah

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membantu penangguhan pengajian bagi atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, yang mengalami kecederaan parah selepas dilanggar dan diseret pemandu mabuk dalam kemalangan jalan raya, Sabtu lalu.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, perkara itu bergantung kepada keadaan semasa pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang itu.

Katanya, penangguhan pengajian itu tidak akan menjejaskan biasiswa pelajar tersebut yang boleh dipanjangkan sehingga atlet itu menamatkan pengajiannya.

“Mengenai pengajiannya, pelajar ini berada di semester akhir dan akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Jika disebabkan kemalangan ini dia tak bersedia untuk mengambilnya, ia boleh ditangguhkan pada semester depan.

“Itu tidak menjadi masalah, kita minta dia supaya fikirkan dahulu sebelum mengambil keputusan, peperiksaan itu boleh diduduki semula pada semester depan.

“Keputusan penangguhan itu tidak akan menjejaskan bantuan biasiswa yang diterimanya ketika ini. Biasiswa itu pun kita boleh sambung sekiranya dia berhasrat untuk minta tangguh pengajian,” katanya selepas melawat Masyitah di hospital swasta di sini semalam.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dilanggar dari belakang oleh sebuah Toyota Vios kira-kira 4.30 petang di kilometer 3.5 Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi.  – KOSMO! ONLINE

The post KPT bantu penangguhan pengajian Siti Nurul Masyitah appeared first on Kosmo Digital.