GEORGE TOWN – Ibu kepada Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Indon Hussin, 67, tidak menyangka pertemuannya dengan anak sulungnya, Isnin lalu di Manjung, Perak adalah perjumpaan terakhir mereka.
Indon berkata, memang menjadi kebiasaan setiap bulan dia dan suaminya, Ramli Abd. Hamid, 68, akan ke rumah milik Muhammad Firdaus di Manjung kerana mereka memegang kunci rumah berkenaan selepas anaknya berpindah ke Sabah.
“Tiada perubahan ketara ketika kami bertemu di rumahnya pada Isnin lalu, selepas dia sampai di pangkalan TLDM di Lumut, dia terus datang bertemu kami.
“Dia seperti biasa sahaja, dia peluk saya dan suami sebelum kami pulang ke Pulau Pinang, dia hanya pesan mama, bapa balik elok-elok, hati-hati,” katanya yang ditemui di rumah mereka di Pantai Jerejak di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi semalam, seramai 10 kru dilaporkan terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM yang bertembung di udara sewaktu raptai sempena Hari TLDM ke-90
Menurutnya, dia dan suaminya juga sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Muhammad Firdaus pada raya ketiga dan keempat yang lalu di rumah anaknya itu.
Katanya, Muhammad Firdaus yang lebih dikenali sebagai ‘Tuan Kecik’ dalam kalangan rakan sekerja memang bercita-cita untuk menyertai pasukan tentera sejak dari kecil lagi.
“Dia paling minat dengan pesawat pejuang, dia sebenarnya mahu menjadi juruterbang jet pejuang, namun dia menyertai TLDM kerana saiz badannya yang lebih kecil.
“Dengan rakan-rakan serta anak buah pun dia seorang yang amat baik, semua orang yang kami jumpa bercakap perkara yang baik mengenainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tragedi helikopter TLDM: ‘Tuan Kecik’ cita-cita jadi tentera sejak kecil appeared first on Kosmo Digital.