SHAH ALAM – Sebanyak 70 lokasi panas atau hotspot dikenal pasti dijangka berlakunya kekecohan di Selangor sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah tersebut daripada 190 hotspot yang telah disenaraikan bagi enam negeri yang menjalani PRN bermula tarikh penamaan calon pada 12 Ogos ini.
Katanya, kesemua lokasi tersebut akan dipantau Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas bagi menentukan bahawa perjalanan PRN berjalan lancar.
“Kita ada pengalaman dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Kebanyakan kita kenal pasti tempat-tempat yang ada isu, cuma kita akan neutralkan perkara-perkara ini.
“Kita hendak pastikan pengundi dapat mengundi dengan teratur dan selamat selain tidak perlu takut keluar termasuk tiada lagi ugutan dari luar,” katanya pada sidang akhbar persiapan PRN Selangor di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Beliau menambah, kira-kira 10,000 anggota dan pegawai dari kontinjen Selangor akan terlibat sepanjang PRN itu.
Ujarnya, pengukuhan operasi akan dilakukan menerusi tambahan 2,000 anggota sama ada dari kontinjen lain, formasi malahan Bukit Aman.
“Kita kena ambil kira itu semua kerana bila tatakelola yang silap, pengaturan tidak betul sebenarnya merugikan duit kerajaan.
“Itu memang saya ambil kira kerana bagi enam negeri yang terlibat PRN, saya sendiri akan turun untuk menentukan, menguruskan sumber manusia diperlukan dari segi logistik dan kewangan juga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post PRN: 70 hotspot Selangor, 2,000 anggota tambahan appeared first on Kosmo Digital.