Saham SkyWorld terlebih langgan

PETALING JAYA – Pemaju hartanah, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) mengumumkan bahagian awam daripada tawaran awam permulaannya (IPO) telah terlebih langgan menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 10 Julai ini.

IPO SkyWorld melibatkan terbitan awam sebanyak 208,000,000 saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 192,000,000 saham sedia ada pada RM0.80 sesaham.

SkyWorld dalam satu kenyataan berkata, syarikat menerima sejumlah 3,378 permohonan untuk 59,488,900 saham daripada orang awam Malaysia dalam tempoh lebih enam hari bekerja untuk 50,000,000 saham terbitan awam yang disediakan untuk permohonan orang awam, mewakili kadar langganan keseluruhan sebanyak 1.19 kali.

“Daripada jumlah ini, sejumlah 1,644 permohonan untuk 30,783,300 saham diterima bagi bahagian Bumiputera, mewakili kadar langganan 1.23 kali.

“Bagi bahagian awam Malaysia yang selebihnya, sejumlah 1,734 permohonan untuk 28,705,600 saham telah diterima, mewakili kadar langganan sebanyak 1.15 kali.

“Sementara itu, 25,000,000 saham terbitan awam disediakan untuk permohonan oleh pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat serta tawaran institusi juga telah dilanggan sepenuhnya,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelabur atas kepercayaan dan keyakinan mereka.

“Kami menantikan penyenaraian kami pada 10 Julai dan teruja dengan perjalanan pertumbuhan kami pada masa hadapan.

“Dedikasi kami untuk memberikan nilai yang luar biasa, ditambah dengan tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada kepuasan pelanggan akan terus menjadi penggerak di sebalik kejayaan kami,” tambahnya.

Inter-Pacific Research Sdn. Bhd. telah mengeluarkan nota IPO yang memberi SkyWorld nilai saksama RM1.03 sesaham, manakala tiga lagi rumah penyelidikan iaitu PublicInvest Research, TA Securities Research dan RHB Research masing-masing menilai SkyWorld pada RM0.96, RM0.92 dan RM0.90 sesaham. – KOSMO! ONLINE

The post Saham SkyWorld terlebih langgan appeared first on Kosmo Digital.