KANGAR – Kerajaan negeri menyasarkan seramai 500,000 pengunjung akan hadir ke Pesta Angin Timur (PAT) yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Mac ini di Kampung Sungai Padang di sini.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, PAT kali ini adalah yang pertama diadakan secara terbuka selepas dilakukan secara hibrid dan dalam talian pada tahun sebelumnya akibat pandemik Covid-19.
“Kita menjangkakan penganjuran kali ini lebih meriah dan sememangnya berpotensi menarik kehadiran lebih pelancong untuk merasai sendiri pengalaman menarik menerusi acara dan aktiviti yang diaturkan.
“Kita mengalukan kehadiran pelancong dari seluruh negara mahupun dari negara jiran untuk memeriahkan PAT selepas agak suram akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pelbagai pengisian menarik disediakan pada PAT 2023 antaranya pertandingan sukan rakyat, kenduri rakyat, malam keindahan Islam, pameran agensi dan jualan kraf, sukan lasak bendang, larian angin timur dan pelbagai lagi.
Penganjuran Pesta Angin Timur bertujuan mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa sebagai salah satu produk ikon industri pelancongan negeri Perlis.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Shukri berkata, setakat ini seramai 189 peniaga mengesahkan akan turut sama bagi memeriahkan pesta tersebut dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari penganjurannya nanti.
The post Pesta Angin Timur sasar 500,000 pengunjung appeared first on Kosmo Digital.