PENYERANG utama Petaling Jaya (PJ City), Darren Lok tekad untuk terus konsisten pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dalam memastikan terus mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Sebagai rekod, Darren menikmati musim terbaik selepas berjaya meledak 10 gol pada kempen Liga M tahun ini termasuk jaringan tunggal ketika membantu The Phoenix menewaskan Selangor FC 1-0 di Stadium MBPJ, Ahad lalu.
Darren berkata, nasib menyebelahinya pada kempen musim ini kerana tidak ditimpa sebarang kecederaan serius yang membuka ruang untuk dia sentiasa bermain dalam kebanyakan perlawanan buat skuad kendalian P. Maniam itu.
“Secara jujur, musim ini menjadi antara detik terbaik saya kerana dapat beraksi lebih kerap dengan tidak banyak ditimpa kecederaan dan mampu menjaringkan 10 gol secara keseluruhan.
“Meskipun musim ini tidak banyak mendapat bantuan bagi menjaringkan gol, tetapi saya dapat memanfaatkan segala peluang yang ada serta mematangkan lagi corak permainan.
“Jika ditanya mengenai sasaran, sudah tentu saya ada sasaran gol yang mahu dilakukan, tetapi saya mahu rahsiakan untuk diri sendiri,” kata pemain berdarah kacukan Malaysia-England berusia 30 tahun itu.
Sementara itu, Darren meletakkan harapan tinggi untuk terus diserapkan dalam skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon yang bakal mengharungi kejohanan jemputan Piala Raja Thailand di Chiang Mai pada bulan depan.
“Saya mahu terus dipanggil dalam skuad kebangsaan terutama perlawanan persahabatan pada September nanti dan Piala AFF pada Disember sebagai persiapan sebelum mengharungi Piala Asia 2023.
“Apa yang penting, saya sangat berharap prestasi ini dapat diteruskan dalam satu jangka masa panjang kerana saya yakin berada pada prestasi terbaik,” katanya.
The post Darren Lok tekad tampil aksi cemerlang bersama PJ City appeared first on Kosmo Digital.