Misteri lembu mati terapung di tengah laut

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan keadaan beberapa ekor lembu yang ditemukan mati terapung di sebuah pantai, lapor laman berita Suara.com.

Video yang dimuat naik dalam akaun Instagram bernama @infomdr itu dikatakan dirakam dalam di Pantai Camplong, daerah Sampang dalam wilayah  Jawa Timur.

Bagaimanapun, punca kematian lembu-lembu itu masih tidak diketahui. Bangkai haiwan itu ditemui oleh beberapa penduduk tempatan yang melalui kawasan tersebut.

Menerusi klip video berkenaan, seekor lembu dirakam hanyut ke tebing dan dipercayai telah ditarik oleh seorang penduduk. Tali pada hidungnya ditambat pada batu untuk mengelak ia hanyut ke tengah laut.

Bukan hanya seekor, beberapa ekor lembu lain turut dilihat mati terapung di tengah  laut.

Sebilangan penduduk yang menyaksikan kejadian dilihat kehairanan kerana tidak mengetahui dari mana lembu-lembu itu datang.

Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Biasanya jatuh dari kapal yang mengangkut lembu,’’ tulis seorang netizen.

“Mudah-mudahan bukan kerana ada kapal pengangkut yang tenggelam,’’ komen netizen lain. – Agensi

The post Misteri lembu mati terapung di tengah laut appeared first on Kosmo Digital.