50 warga Bangladesh, Myanmar diserbu di kilang jahit pakaian dalam

KUALA LUMPUR – Seramai 50 warga asing termasuk ‘pengurus syarikat’ lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di sebuah kilang menjahit pakaian dalam sekitar Cheras, di sini, 11 Disember lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pengurus syarikat berusia 46 tahun itu disyaki menggaji warganegara asing secara tidak sah.

Operasi yang bermula pada pukul 9.15 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, dengan kerjasama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis tersebut dan berjaya menahan Pengurus Syarikat warga Bangladesh kerana disyaki menggaji warga asing secara tidak sah.

“Selain itu, seramai 34 lelaki warga Bangladesh dan 15 wanita warga Myanmar dipercayai sebagai pekerja tukang jahit di premis tersebut.

“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan operasi telah merampas sebanyak 40 keping kad perakam waktu dan peralatan menjahit.

Katanya, syarikat ini juga dipercayai telah beroperasi selama dua tahun.

“Kesemua warga asing ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut manakala pengurus syarikat terbabit ditahan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

The post 50 warga Bangladesh, Myanmar diserbu di kilang jahit pakaian dalam appeared first on Kosmo Digital.