4 ditahan jual senjata tiruan, miliki haiwan tanpa permit sah

KUALA LUMPUR – Seramai empat lelaki termasuk dua warga asing ditahan kerana menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian dan menyimpan haiwan tanpa permit menerusi dua serbuan berasingan di Kota Bharu, Kelantan dan Jalan Raja Laut, di sini, pada 17 dan 18 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kejayaan dalam Op Taring Bravo 3 (senjata tiruan), Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring DOS (ubat-ubatan) adalah hasil risikan oleh Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA.

Katanya, pasukannya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sebanyak 32 laras senjata tiruan serta dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit sah ketika serbuan di premis di Kota Bharu, Kelantan pada 17 Disember lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan yang lalu.

“Pemeriksaan lanjut di premis tersebut menemukan dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit yang sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas beberapa kotak yang mengandungi ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Peraturan-Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” jelasnya.

Menurut beliau, tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan dalam operasi kedua di ibu negara pada 18 Disember lalu, kerana memiliki 637 laras senjata tiruan.

“Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi ini dianggarkan berjumlah RM 436,971 dan kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

The post 4 ditahan jual senjata tiruan, miliki haiwan tanpa permit sah appeared first on Kosmo Digital.