3 juta keluarga B40 terima penghantaran kit kesihatan

PETALING JAYA- Pos Malaysia berjaya melaksanakan proses penghantaran Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) bagi melindungi kesihatan rakyat negara ini kepada lebih 3 juta keluarga B40 seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, proses penghantaran kit kesihatan tersebut melibatkan kerjasama lebih 15,000 kakitangan Pos Malaysia seluruh negara.

“Kami amat berbangga menjadi penyedia penghantaran pilihan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada ramai keluarga dan akan memastikan semua PPC dihantar tepat pada masanya.

“Membina kepercayaan adalah penting bagi kami, untuk terus menghubungkan kehidupan dan perniagaan bagi memastikan masa hadapan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Inisiatif PPC ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 September 2021, di mana setiap keluarga disediakan ‘Pakej Penjagaan’.

Ia mengandungi pelitup muka guna semula, kit ujian kendiri Covid-19, oximeter dan termometer, serta risalah penggunaan dan maklumat kesihatan dalam setiap pakej. -K! ONLINE

The post 3 juta keluarga B40 terima penghantaran kit kesihatan appeared first on Kosmo Digital.