2 maut motosikal terbabas langgar ‘divider’

MUAR – Seorang lelaki dan seorang wanita maut termasuk seorang daripadanya putus kaki kanan selepas terlibat kemalangan di Kilometer (KM) 130.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 5.24 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun bersama pembonceng, seorang waita warga Singapura berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba ke lokasi kejadian, penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar besi pembahagi jalan di bahagian tengah lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Raiz Mukhliz, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal jatuh di lorong kanan lebuh raya arah utara sementara pembonceng tercampak ke laluan bertentangan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan kanan dan badan sementara pembonceng cedera parah di bahagian kepala, badan serta putus kaki kanan. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post 2 maut motosikal terbabas langgar ‘divider’ appeared first on Kosmo Digital.